Dusun Humphrey History | UNIVERSITY AGRICULTURE PARK
» ARTICLE » Dusun Humphrey History

Dusun Humphrey History

Dusun Humphrey @ Dusun Contoh @ Dusun Tani Serdang

Dusun Humphrey mempunyai keluasan 6.6 hektar dan ditanam dengan pelbagai pokok buah-buahan, tumbuhan herba dan akuatik. Sebelum tahun 1967, Dusun ini dikenali sebagai Dusun Tani Serdang. Naib Presiden Amerika Syarikat, Sir Hubert Humphrey dan diiringi oleh Menteri Penerangan Encik Senu Abdul Rahman dan Duta Besar Amerika ke Malaysia, Sir James D. Bell pernah berkunjung ke Dusun Tani pada 3 November 1967, sempena lawatan beliau ke Kolej Pertanian Serdang, nama Universiti Putra Malaysia ketika itu. Semasa di Dusun Tani, Sir Hubert Humphrey sempat merasa buah rambutan dan limau bali dan beliau memuji keenakan buah rambutan. Pada temasya tersebut, Sir Hubert Humphrey telah dihadiahkan buah-buahan limau bali, limau manis dan durian belanda. Rentetan daripada peristiwa itu, Pemangku Pengetua Kolej Pertanian Serdang, Encik Mohamed Rashid bin Ahmad telah mengumumkan nama Dusun Tani sebagai Dusun Humphrey sempena lawatan Naib Presiden itu.

Objektif penubuhan Dusun Humphrey adalah untuk dijadikan lokasi pengumpulan spesies pokok buah-buahan yang jarang ditemui serta belum dikenali untuk dikomersialkan.  Selain itu, pokok buah-buahan di dusun ini boleh dijadikan bahan penyelidikan dan kajian oleh pelajar, pensyarah, individu dan agensi-agensi yang berkaitan. Disamping itu, Dusun Humphrey juga berfungsi memelihara dan mengekalkan kehijauan kawasan di UPM serta menjadi tempat tarikan bagi meningkatkan nilai estetika UPM.

Dusun Humphrey merupakan antara tempat yang menarik untuk dikunjungi di UPM. Dusun ini dibahagi kepada 5 zon kawasan iaitu Zon Nadir, Zon Warisan, Zon Mango Grove, Zon Herba dan Ulaman serta Zon Akuatik. Terdapat lebih 50 spesies pokok buah-buahan di Dusun ini, antaranya rambutan (Nephelium lappaceum), limau bali (Citrus maxima), limau kasturi (Citrus microcarpa), cempedak (Artocarpus integer), ciku (Manilkara zapota), durian (Durio zibethinus), belimbing buluh (Averrhoa bilimbi), mentega (Diospyros discolor), petai (Parkia speciosa), rambai (Baccaurea motleyana), mangga (Mangifera indica), durian belanda (Annona muricata) dan banyak lagi. Di samping itu, terdapat tumbuhan yang mempunyai nilai khasiat perubatan dan kesihatan tubuh badan seperti temu kunci (Boesenbergia rotunda), temu lawak (Curcuma zanthorrhiza), pecah kaca (Strobilanthes crispus), dan belalai gajah (Clinacanthus nutans). Tumbuhan akuatik di sekitar kolam dusun terdiri dari teratai (Nelumbo nucifera), kiambang (Pistia stratiotes) dan keladi bunting (Eichhornia crassipes) dijadikan sampel kajian oleh pelajar dan pensyarah di UPM.

 

i. Zon Nadir

 

ii. Zon Warisan

 

iii. Zon Mango Grove

 

Iv. Zon Herba dan Ulaman

v. Zon Akuatik

Pengeluaran hasil buah-buahan biasanya dipasarkan di Putra Mart sebagai penjanaan pendapatan UPM. Hasil yang dipasarkan seperti rambutan (Nephelium lappaceum), cempedak (Artocarpus champeden) dan ciku (Manilkara zapota)

Date of Input: 04/10/2018 | Updated: 05/10/2018 | shazry

MEDIA SHARING

UNIVERSITY AGRICULTURE PARK
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603 8946 7288
+603 8942 4076
C1544857866