PENJAGAAN POKOK MANGGIS | UNIVERSITY AGRICULTURE PARK
» ARTICLE » PENJAGAAN POKOK MANGGIS

PENJAGAAN POKOK MANGGIS

 

 

PENGENALAN

Pokok manggis adalah sejenis buah-buahan tropika yang bermusim. Musim buah manggis ialah bulan Jun hingga Ogos setiap tahun. Musim berbuah boleh berubah bergantung kepada faktor iklim semasa dan kesuburan pokok.

Manggis tergolong dalam famili Guttiferae dan nama saintifiknya ialah Garcinia mangostana L.

Pokok manggis boleh ditanam dengan menggunakan sistem segiempat sama dengan  jarak tanaman  9 m x 9 m.

Secara umumnya, pokok manggis klon (kahwin) boleh mengeluarkan buah manggis pada umur 7 tahun dan keatas selepas ditanam.

Pokok manggis mudah dibiak dengan menggunakan kaedah cantuman Baji. Kaedah pembiakan ini memerlukan 3 komponen utama seperti anak pokok penanti manggis, pucuk ranting baka terpilih ( scion ) dan peralatan cantuman. Bagi Cantuman baji yang telah berjaya dicantum, ianya perlu diberikan naungan/teduhan sehingga anak pokok sesuai ditanam.

Pokok manggis yang ditanam diladang UPM ialah seperti Manggis Biji, Manggis Masta dan Manggis Tanpa Biji. Bagi tempoh kematangan buah manggis mengambil masa 3–4 bulan dari bunga kembang hingga buah masak. Buah manggis biasanya dimakan segar dan diproses menjadi jus atau jem.

 

TIP  PENJAGAAN

 

Antara tip penjagaan yang dapat dikongsi pada ruangan kali ini adalah seperti berikut:-

 

Pengairan

  • Pokok manggis memerlukan jumlah air yang banyak terutama sekali selepas ditanam dan sekiranya tidak mencukupi, pucuk daun akan layu, kering dan akhirnya pokok akan mati.
  • Pada peringkat awal pertumbuhan, anak pokok perlu disiram pada awal pagi dan lewat petang supaya tidak berlaku pemeluwapan.
  • Penggunaan sungkupan seperti sabut kelapa, sisa tanaman, naungan juga boleh digunakan untuk mengawal kelembapan tanah dan memegang air dengan sempurna.
  • Penanaman anak pokok manggis pada musim hujan adalah digalakan untuk mendapatkan kadar air dengan secukupnya.

Kawalan rumpai

  • Penggunaan peralatan seperti cangkul/tajak boleh mengawal rumpai yang tumbuh disekeliling pokok
  • Rumpai juga boleh dikawal dengan meletakkan sungkupan untuk menghalang pertumbuhan rumpai dikeliling anak pokok.
  • Penggunaan racun rumpai ( paraquat ) juga boleh membantu mengawal pertumbuhan rumpai secara semburan keliling anak pokok dengan secara berhati-hati.

Pemangkasan

  • Pokok manggis perlu dibentuk dari peringkat awal pertumbuhan dengan membiarkan dahan utama tumbuh 1 meter dari paras tanah dan membiarkan pertumbuhan dahan-dahan sisi tumbuh mendatar dengan baik.
  • Pemangkasan penjagaan perlu dilakukan secara berterusan seperti memotong ranting yang melempai ke bawah/tanah, tunas air yang menegak, ranting yang bersilang/bertindih, ranting yang mati dan berpenyakit.
  • Pokok buah manggis yang tidak berbuah perlu diberi perhatian pada penjagaan pokok seperti pembajaan, pemangkasan dan kawalan penyakit dan serangga.
  • Pemangkasan yang terlalu banyak tidak digalakkan kerana akan menjejaskan kesihatan pokok dan menganggu pertumbuhan pokok.

 

 Pembajaan

  • Penggunaan baja tumbesaran NPK 15:15:15 yang mengikut kadar yang tertentu adalah disyorkan pada awal penanaman supaya mengalakkan pertumbuhan tampang seperti pembentukan ranting/dahan, mempercepatkan kematangan daun dan mengalakkan pertumbuhan pucuk baru yang aktif.
  • Seterusnya, baja tumbesaran perlu ditabur dikeliling pokok dan ditutup dengan tanah.
  • Apabila pokok mencapai umur matang iaitu 7 tahun dan keatas, penggunaan baja buah 12:12:17:2 adalah perlu bagi menjamin pembentukan bunga dan buah yang banyak serta berkualiti.
  • Penggunaan baja organik dan baja tumbesaran perlu ditabur selepas musim buah manggis supaya mengalakkan pertumbuhan tampang dan menggantikan baja yang telah hilang.
  • Baja perlu ditabur dengan kadar 1/3 baja sebelum pokok berbunga, 1/3 sebulan selepas berputik dan 1/3 selepas kutip hasil. Disyorkan menabur baja dengan kekerapan 3 kali setahun mengikut umur pokok dan kesuburan tanah.

 

Kawalan Penyakit dan Perosak

  • Pokok manggis mudah diserang dengan serangga seperti Ulat Pelombong Daun, Ulat pengorek Buah dan Belalang.
  • Penyakit yang biasa menyerang pokok manggis ialah seperti cerana zignoela, cendawan angin dan sebagainya.
  • Kawalan yang mudah adalah dengan menggunakan racun kimia yang sesuai dan kawalan secara kutura.

 

Disediakan oleh :

Norhaimanshah Ismail

Penolong Pegawai Pertanian

Taman Pertanian Universiti

Universiti Putra Malaysia

 

 

 

 

 

 

 

Date of Input: 23/04/2021 | Updated: 23/04/2021 | alfanhidayat

MEDIA SHARING

UNIVERSITY AGRICULTURE PARK
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603 9769 7282/7301
+603 8942 4076
BVMbKzP:10:51