Sekuriti Makanan Di Malaysia | TAMAN PERTANIAN UNIVERSITI
» ARTIKEL » Sekuriti Makanan di Malaysia

Sekuriti Makanan di Malaysia

Menurut Jawatankuasa Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Jaminan Makanan Dunia, sekuriti makanan boleh ditakrifkan sebagai keadaan di mana semua orang mempunyai akses fizikal, sosial dan ekonomi kepada makanan yang mencukupi, selamat dan berkhasiat. Selain itu, makanan tersebut mestilah memenuhi keperluan pemakanan seharian untuk membolehkan manusia menjalani gaya hidup yang aktif dan sihat.

Peningkatan penduduk di kebanyakan negara, terutamanya di negara-negara membangun seperti Malaysia, menimbulkan ancaman buruk kepada sekuriti makanan. Dengan pertumbuhan penduduk yang semakin pesat, permintaan untuk makanan dijangka akan meningkat sebanyak 70 hingga 100% pada tahun 2050. Oleh itu, sekuriti makanan perlu diberikan perhatian yang lebih serius kerana ianya merupakan elemen penting dalam  pertumbuhan ekonomi Malaysia di samping memenuhi keperluan asas berjuta-juta penduduk.

Walaupun Malaysia mempunyai bekalan daging ayam, daging babi, perikanan dan telur yang mencukupi, kita masih lagi bergantung kepada import dari negara luar dalam pelbagai komoditi makanan seperti beras, buah-buahan, susu tenusu dan daging lembu. Pada tahun 2015, bil import makanan sahaja hampir mencecah RM45.4 bilion manakala eksport negara hanya RM 27 bilion meninggalkan defisit sebanyak lebih RM18 bilion. Jika keadaan ini berterusan, Malaysia tidak dapat membekalkan bekalan makanan yang berterusan kepada rakyat dan berkemungkinan besar akan menghadapi krisis makanan pada masa akan datang. Kajian terbaru menunjukkan bahawa masyarakat luar bandar yang berpendapatan rendah lebih terdedah kepada krisis makanan disebabkan oleh saiz keluarga yang lebih besar, bilangan kanak-kanak sekolah yang banyak serta golongan ibu yang tidak bekerja.

Dalam usaha untuk memastikan sekuriti makanan terjamin, Malaysia dengan kerjasama institusi kerajaan dan sektor swasta berganding bahu untuk meningkatkan pengeluaran makanan ruji dengan memanfaatkan agro-bioteknologi, melabur di kawasan luar bandar, dan meminimumkan peminggiran petani kecil dan pemegang saham lain. Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) telah menganjurkan pelbagai seminar, bengkel dan memorandum persefahaman (MoU) antara kementerian, firma swasta, agensi dan pemegang saham bagi memastikan bekalan makanan yang berterusan.

Universiti Putra Malaysia (UPM), salah sebuah institusi pertanian berkedudukan tinggi di Malaysia menyumbang kepada agenda keselamatan makanan dengan menyokong inisiatif kerajaan dalam aspek sekuriti makanan. Salah satu strategi yang dilaksanakan oleh UPM untuk meningkatkan kecekapan dan produktiviti makanan termasuklah merapatkan jurang teknologi yang timbul antara universiti, ladang dan sektor industri. Pelbagai kajian telah dijalankan oleh saintis UPM untuk menangani isu-isu semasa dalam sektor pertanian seperti pengeluaran, pemprosesan, keselamatan makanan, pengurusan sumber yang mampan, bioteknologi dan teknologi lepas tuai. Di samping itu, UPM juga menawarkan perkhidmatan profesional dalam bidang latihan, lanjutan dan jangkauan program kepada petani. Baru-baru ini, UPM telah memberikan tumpuan kepada pertanian bandar kerana migrasi penduduk luar bandar ke bandar telah menyebabkan penurunan yang agak besar dalam aktiviti pertanian luar bandar. Oleh itu, misi UPM adalah untuk mewujudkan kesedaran di kalangan masyarakat bandar untuk menghasilkan makanan sendiri. Selain daripada itu, aktiviti pertanian bandar juga akan membantu untuk membasmi kemiskinan bandar serta isu kekurangan makanan.

Kesimpulannya, Malaysia perlu memberi penekanan yang lebih kepada 'penghasilan makanan sendiri dan pelarasan strategik’ untuk menangani isu-isu sekuriti makanan. Sekuriti makanan adalah tanggungjawab semua orang sama ada organisasi rumah, petani, swasta atau kerajaan. Pepatah Melayu ada mengatakan,” Bersatu kita teguh, Bercerai kita roboh”. Bersama-samalah kita berganding bahu untuk menangani isu sekuriti makanan sebelum terlambat.

Tarikh Input: 02/05/2017 | Kemaskini: 06/06/2017 | mohdhusni

PERKONGSIAN MEDIA

TAMAN PERTANIAN UNIVERSITI
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603 9769 7282
+603 9769 7285
B1566794456